Sunday, October 26, 2008

Muhasabah Diri

Ada orang Islam yang begitu gigih membaca al Quran, setiap hari melebihi satu juzuk tetapi malangnya dia tidak mengusahakan solat-solat sunat. Dia berasa puas hati dengan amalannya membaca al Quran itu tanpa mengambil tahu aspek-aspek ibadah yang lain.

Ada orang yang begitu rajin berwirid, saban hari zikirnya ribuan tetapi dia tidak berdakwah kepada sesiapa.

Ada yang solat sunat melebihi dua puluh rakaat dalam sehari semalam, dia berasa puas begitu tapi mengabaikan solat fadhu berjemaah di tempat azan dilaungkan , iaitu di surau ataupun masjid.

Ada yang ke sana ke mari berceramah dan mengajar agama tetapi malangnya tidak pula membuat kuliah harian atau minggan untuk anak isteri sendiri.

Ada pula yang begitu rajin berjemaah di masjid, tetapi malas mencari ilmu agama melalui jalan membaca, menonton, mendengar, mengarang, mengumpul bahan dan sebagainya.



Keadaan-keadaan di atas menghasilkan individu yang tidak seimbang. Minda mereka perlu dibuka agar mereka tidak berasa puas hati dengan apa yang mereka usahakan sahaja. Bagi sesetengah orang, mereka memahamkan diri mereka bahawa apa yang mereka usahakan itulah jalan agama yang sebenar. Kalau dia rajin mengerjakan solat sunat melebihi dua puluh rakaat setiap hari, dia akan memandang rendah kepada orang lain yag hanya mampu melakukan enam rakaat sahaja sehari semalam. Maka keluarlah daripada mulutnya nasihat-nasihat agar orang lain mencontohinya. Tetapi dia tidak sedar kemungkinan individu yang dinasihatinya itu mungkin ada melakukan amalan yang lain seperti berdakwah, menghafaz dua puluh minit sehari, membaca bahan agama dua jam sehari, merancang aktiviti-aktiviti agama dan seumpamanya.


Situasi ini tidak berlaku kepada orang awam sahaja, malah kadang-kala berlaku juga kepada mereka yang bergelar ulama. Untuk itu saya telah mencadangkan malah menjalankan satu kaedah muhasabah diri untuk digunakan oleh anak-anak buah dan kegunaan saya sendiri.




Ada 3 kategori manusia :-

BERJAYA : Hari ini lebih baik daripada semalam.
TERPEDAYA : Hari ini sama seperti semalam.
CELAKA : Hari ini lebih teruk daripada semalam.

"Apabila kita kejar dunia, dunia akan lari; tetapi apabila kita kejar
akhirat, dunia akan mengejar kita"

Semoga mendapat panduan mendidik diri & keluarga, Insya-Allah.

No comments: